Kerajaan PH dinasihatkan jangan buat keputusan kerana dendam

Kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan digesa bersikap telus dalam keputusan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, jangan beremosi membuat keputusan kerana keputusan yang dikuasai emosi hanya akan merugikan rakyat.

“Kerajaan Pakatan Harapan jangan membuat keputusan semata-mata kerana dendam kesumat terhadap individu ataupun Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Keputusan yang dikaburi emosi hanya akan merugikan rakyat,” kata Najib menerusi laman media sosial Facebook beliau.

Beliau berkata, projek HSR bukan diilhamkan berdasar kepada keputusan dibuat satu negara sahaja, sebaliknya ia dilakukan secara kajian terperinci termasuk manfaat dari segi kos bagi membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi kedua-dua negara.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, Malaysia banyak menerima manfaat termasuk menerusi jualan tiket kerana majoriti landasan adalah di negara ini.

“Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi dan visi kita untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta taraf hidup lebih baik,” jelasnya.

Bekas Perdana Menteri keenam itu berkata, HSR juga akan mewujudkan pusat pertumbuhan baharu seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka dan Seremban di mana manfaat berganda daripada projek berkenaan adalah sangat besar.

“Saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkan projek ini dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan mendakwa kos projek tersebut adalah RM110 bilion sedangkan jawatankuasa bersama Malaysia–Singapura, sehingga awal tahun ini mengunjurkan kos untuk projek ini adalah kira-kira RM72 bilion sahaja.

“Ia termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mahukan penjelasan bagaimana kerajaan memperoleh angka RM110 bilion.

“Adakah angka ini dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi hutang negara?’

“Saya terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata, projek berkenaan boleh menjana RM650 bilion bagi GNI (Pendapatan Negara Kasar ) sehingga 2069 sekiranya ia dilaksanakan.

Malah, beliau berkata, ia juga akan mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan.

“Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI sehingga 2069.

“Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069,” ujarnya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com