Kerajaan PH tak wajar guna duit Petronas untuk ganti penghapusan GST

Kerajaan Pakatan Harapan diminta supaya jangan salah gunakan dana syarikat petroleum negara Petronas, tegas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menyelar pelan membiayai akibat kehilangan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan meminta Petronas, serta Khazanah Nasional dan Bank Negara Malaysia melakukan bayaran dividen lebih tinggi kepada kerajaan.

“Saya mohon kerajaan baharu ini akan terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka.

“Bukannya menjarah dana Petronas atau bagi misi ‘bail-outs’ sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Tun Mahathir Mohamad yang dahulu,” katanya menerusi di akaun Facebook miliknya.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, keuntungan Petronas bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya, jadi kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sewajarnya dielakkan.

“Pendekatan ini adalah rapuh (not sustainable) dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek,” ujar beliau.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata meskipun harga minyak dunia sekarang agak tinggi, kerajaan harus melakukan persiapan rapi jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80 peratus yang terjadi pada tahun 2014 dan 2015.

Bekas perdana menteri itu turut memuatnaik keratan laporan kewangan interim Petronas bagi suku pertama 2018, yang menunjukkan kedudukan tunai syarikat itu berjumlah RM164.7 bilion daripada RM128.2 bilion pada penghujung 2017.

“Rizab tunai Petronas sekarang jauh lebih tinggi berbanding 2008 semasa saya mula bertugas sebagai menteri kewangan,” katanya.

Tambah bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Petronas semasa di bawah pentadbiran Kerajaan BN sentiasa dipastikan tidak membayar dividen melangkaui keperluan kerajaan waktu itu.

Katanya, hal ini adalah untuk memastikan syarikat berkenaan ada imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bangi yang juga pegawai khas menteri kewangan,  Ong Kian Ming mengatakan Putrajaya merancang meningkatkan perolehan negara dengan menaikkan cukai korporat termasuklah kepada syarikat minyak negara itu memandangkan harga minyak global tahun ini telah naik kepada AS$70 per barel berbanding jangkaan awal AS$52.

Kenyataan Ong itu dikeluarkan semasa beliau temu  bual di stesyen radio BFM yang mengatakan Putrajaya boleh mengutip antara  RM8 bilion sehingga RM9 bilion dalam bentuk dividen khas daripada Petronas. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com