Kerajaan PH tangguh laksana manifesto atas alasan kewangan negara

Janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan iaitu dalam jangka masa 100 hari setelah mengambil alih pemerintahan mungkin tidak dapat ditunaikan dalam tempoh yang ditetapkan atas alasan kekangan kewangan negara.

Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengumumkan akan menangguhkan sementara beberapa janji dalam janji 100 Pakatan Harapan sehingga kedudukan kewangan negara dapat distabilkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mencapai semua janji 100 harinya, ekoran keadaan kewangan negara kini.

Kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, janji 100 hari hanya akan dilaksanakan Kerajaan Pusat apabila keadaan kewangan negara bertambah baik.

“Jika keadaan kewangan negara bertambah baik dalam tempoh 100 hari, kita akan laksanakan, tetapi jika tidak kita akan tunggu sehingga ia baik.

“Sebagaimana yang kita mahu melaksanakan semua 100 hari janji, kerajaan ini bertanggungjawab secara fiskal dan tidak akan mengikuti contoh kerajaan sebelum ini mengenai fiskal yang hampir pasti akan membawa negara ke arah kebankrapan.

“Kerajaan terus komited dalam melaksanakan janji manifesto kami apabila situasi kewangan mengizinkan,” kata Guan Eng.

Antara inisiatif yang akan ditangguhkan pelaksanaannya termasuk pemberian subsidi petrol bersasar, Skim Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sehingga pendapatan bulanan RM4,000 dan Skim Peduli Sihat. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com