Pengambilan pekerja warga Bangladesh wajar dihentikan

Tidak dapat dinafikan Malaysia banyak mengambil pekerja warga asing dari pelbagai negara dan paling ketara dari Bangladesh bekerja dalam sektor seperti pertanian, perindustrian ataupun perkhidmatan.

Pengambilan pekerja asing untuk bekerja di sektor yang dikategori sebagai bahaya, kotor dan sukar (3D) adalah dikatakan kerana sikap rakyat Malaysia sendiri yang tidak berminat bekerja di sektor terbabit.

Namun begitu, Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) berharap Menteri Dalam Negeri yang baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menghentikan pengambilan warga asing terutamanya dari Bangladesh untuk masuk ke Malaysia.

Menurut Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan, pengambilan pekerja warga asing diharap dapat diperbetulkan semula demi kepentingan rakyat di negara ini.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas pelantikan sebagai Menteri Dalam Negeri yang baharu serta kemenangan Pakatan Harapan yang cemerlang dalam PRU14.

“Dengan pelantikan ini, saya doakan semoga penyusunan semula segala dasar dapat diperbetulkan demi kepentingan rakyat di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) telah meminta kerajaan untuk menyelesaikan dahulu masalah pekerja asing tanpa izin yang sedia ada di negara ini sebelum membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan untuk menangguhkan dahulu pengambilan semua pekerja asing ke Malaysia termasuklah dari Bangladesh.

Malah, Zahid Hamidi juga turut menggalakkan majikan untuk lebih mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding pekerja asing. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com