Siaran langsung Piala Dunia 2018 di RTM adalah membazir.. – Pemuda PAS

Ketika rakyat diminta menderma ke Tabung Harapan Rakyat untuk melangsaikan hutang negara, kerajaan pula berbelanja pada perkara bukan keperluan, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Beliau merujuk tindakan kerajaan baharu Pakatan Harapan yang mahu menayangkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 secara langsung di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan tersebut, berkata tindakan berkenaan adalah sesuatu membazir.

Calon PAS Setiawangsa itu turut menimbulkan persoalan adakah berbaloi kerajaan membelanjakan RM 40 Juta dengan anggaran pendapatan RM 12 Juta?

“Saya merasakan ia sangat tidak wajar dan mencadangkan agar Menteri menpertimbangkan semula keputusan beliau,” kata Nurul Islam menerusi di laman media sosial Facebook beliau.

Beliau berkata, dalam situasi negara terpaksa berjimat cermat kerana bebanan hutang, ramai mempersoalkan tindakan kerajaan membelanjakan RM40 Juta untuk siaran langsung Piala Dunia 2018 di RTM.

Tambah Nurul Islam, ada yang mengatakan ianya akan dibiayai menerusi pengiklanan, angka pengiklanan yang dianggarkan adalah RM250 Juta.

“Setelah saya menyemak laporan kewangan RTM 2013-2016 (2017 tidak dipaparkan) melalui laporan tahunan kementerian di laman sesawang rasmi kementerian, saya dapati jumlah pendapatan RTM melalui pengiklanan adalah seperti berikut :

2013 = RM 2.48 Juta
2014 = RM 51.9 Juta (Piala Dunia Brazil)
2015 = RM 38.6 Juta
2016 = RM 43.1 Juta

“Jika diteliti, pada 2014 iaitu tahun pertandingan Piala Dunia di Brazil, RTM menyiarkan siaran langsung dan hasil yang diperolehi oleh RTM melalui pengiklanan adalah RM 52 Juta.

“Manakala tahun tahun lain, pendapatan yang diperolehi sekitar RM 40 Juta. Ia adalah pendapatan pengiklanan sepanjang tahun.

“Jadi lebihan pendapatan pengiklanan pada tahun piala dunia hanyalah RM 12 Juta sahaja,” kata beliau lagi.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan kerajaan akan menayangkan perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung di RTM.

Kos yang akan dibelanjakan adalah RM 40 juta bagi 41 perlawanan yang mana 27 secara siaran langsung dan 14 menerusi siaran tertunda. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com