Mufti bantah kerajaan buat Tabung kutip duit rakyat.

Kerajaan tidak perlu menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi mengutip derma rakyat untuk meringankan bebanan hutang negara, ujar Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.

Menurutnya walaupun tindakan mengutip derma bagi membantu negara tidak dilarang oleh syarak, namun perkara tersebut perlu merujuk kepada konteks semasa dan situasi yang tertentu.

“Dari segi syarak memang dibolehkan, tidak salah untuk membantu macam zaman Rasulullah SAW masa di Madinah, masyarakat menghulurkan derma bagi membantu negara.

“Tapi itu dalam keadaan negara baru yang tidak mempunyai apa-apa selain sesama umat Islam. Tetapi jika kita lihat dalam konteks (Malaysia) sekarang tidak perlu (kutip derma) sebab kekuatan ekonomi kita bukan berada pada tahap yang sangat lemah,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, beliau yakin sumber cukai dan perolehan kewangan negara yang sedia ada masih memadai untuk menggerakkan ekonomi dan melunaskan hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Tapi kalau kita lihat sekarang ini bagi saya kita dah kutip cukai, itupun salah satu cara untuk bantu kerajaan, makna cukai itu sepatutnya sudah mencukupi,” katanya.

Abdul Rahman turut mempersoalkan tindakan kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi menyiarkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.

Menurut beliau, perkara tersebut dilihat bertentangan dengan masalah hutang negara yang dialami sehingga perlu mewujudkan tabung derma tersebut.

“Kita nampak mereka keluar peruntukan besar untuk siarkan perlawanan bola sepak. Sepatutnya tak payah dalam keadaan sekarang.

“Peruntukan untuk bola sepak dan hiburan lain itu sahaja sudah mampu selamatkan jumlah wang yang besar untuk disalurkan kepada hutang negara tadi,” katanya yang merujuk kepada pengumuman Menteri Kementerian dan Komunikasi, Gobind Singh Deo mengenai penyiaran 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018 di RTM yang menelan belanja sebanyak RM40 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com