Apakah amalan Kroni Kapitalisme kembali dibawah kerajaan PH?

Baru-baru ini, tokoh korporat hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing yang mendiamkan diri sejak 16 tahun lalu menarik perhatian apabila mengumumkan akan memulakan projek pembangunan bakal menelan berbilion ringgit di Langkawi.

Projek Bandaraya Baharu Langkawi, yang dijangka bernilai kira-kira RM30 bilion itu akan dibangunkan di atas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat pulau tersebut, bakal dimulakan oleh oleh kumpulan syarikat Pek Khiing dalam waktu terdekat.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta kemudahan lain.

Mengulas perkara itu, Felo Institut Pulau Pinang, Dr. Wong Chin Huat menyifatkan penganugerahan kontrak berbilion ringgit berkenaan seolah-olah akan kembalikan amalan kroni kapitalisme yang terjadi pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Chin Huat berkata, beliau sejak dulu menyatakan kebimbangan beliau secara terang-terangan dengan mengatakan perkembangan berkenaan sangat mengganggunya.

“Ini bukan keputusan populis atau keputusan untuk jangka masa pendek, namun dengan meluluskan projek mega seumpama ini, kita lihat ianya menjurus kepada ciri kroni kapitalis antara tahun 1980-an sehingga 1990-an,” kata beliau dalam laman media sosialnya.

Meskipun beliau tidak langsung menyebut mengenai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam catatan berkenaan, tetapi umum dapat membuat kesimpulan bahawa ia terjadi semasa zaman pemerintahan Perdana Menteri keempat.

Chin Huat yang juga penyokong tegar Pakatan Harapan berkata, rakyat juga perlu tuntut ketelusan dan tanggungjawab ekoran perkara ini.

Catatan Chin Huat tersebut turut mendapat reaksi balas daripada pengguna laman sosial Facebook sehingga dikongsi 49 kali selain luahan yang senada dengan Chin Huat.

Kebanyakan mereka juga merupakan penyokong kerajaan Pakatan Harapan yang turut sama menyatakan rasa bimbang jika undi mereka untuk kerajaan baharu itu tidak banyak membawa perubahan.

Namun bagaimanapun, Mahathir yang Anggota Parlimen Langkawi dalam satu kenyataan turut mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan mana-mana individu yang ada wang untuk dilaburkan di Pulau Langkawi adalah dialu-alukan.

Kata Perdana Menteri itu, projek berkenaan akan dilaksanakankan di negeri Kedah dan hanya kerajaan di negeri Jelapang Padi itu mempunyai hak untuk meluluskan atau sebaliknya berkaitan projek itu.

Untuk rekod, media pernah melaporkan Pek Khiing didakwa gagal menyiapkan empangan hidroelektrik Bakun di negeri Sarawak namun mendapat pula pampasan RM950 juta semasa 1990-an. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com