Menteri Pendidikan beri amaran keras kepada kakitangan kementerian

Baru-baru ini, tular di laman sosial Facebook, seorang guru tidak berpuas hati mendakwa iaitu mana-mana guru yang memohon untuk proses pertukaran guru perlu membayar wang untuk membolehkan pemohon mendapat sekolah atau tempat yang diminta.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan amat memandang serius perkara terbabit dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana kakitangan yang menyalahguna kuasa dan melanggar undang-undang.

Mengulas lanjut, Menterinya, Dr Maszlee Malik memaklumkan penyalahgunaan kuasa ini melibatkan integriti kakitangan itu sendiri dan sebagai pentadbiran baharu beliau akan memastikan kementerian itu ditadbir urus dengan baik.

“Justeru, jika ada sesiapa yang mencuri peluang atau menyalahgunakan kuasa mereka, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya untuk membolehkan pihak polis menyiasat perkara berkenaan. Malah, pihaknya juga akan menjalankan siasatan secara dalaman terhadap dakwaan yang dibuat terbabit.

Dalam pada itu, Maszlee berkata proses meluluskan permohonan pertukaran guru ke tempat atau negeri yang dikehendaki sebenarnya memerlukan tiga kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen di mana-mana sekolah di negeri terbabit.

“Perkara lain yang akan dipertimbangkan, termasuk jika guru berkenaan mempunyai penyakit kronik, alasan keselamatan, untuk mengikut pasangan masing-masing, selain tempoh perkhidmatan di sesebuah sekolah.

“Kami menasihati guru untuk menghubungi kami jika mereka berhadapan isu terbabit dan bukan meluahkannya kepada pihak ketiga untuk mengelakkan penipuan dalam proses pertukaran,” katanya.

Maszlee, turut memberi amaran kepada kakitangan kementerian pendidikan untuk mematuhi undang-undang dan sekiranya didapati melakukan kesalahan pihaknya tidak akan bertolak ansur.

“Kami akan memastikan semua pihak dalam sektor ini mematuhi undang-undang. Kami tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana salah laku dan plagiat.

“Mereka yang melakukan plagiat tidak akan terlepas. Kami mahu mereka mempunyai integriti dan berdisiplin,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com