Gagal tunai janji pilihanraya dan menipu pengundi hukumnya Haram.. – Mufti

Tindakan menabur bermacam-macam janji manis dan popular untuk mendapatkan undi sedangkan mereka sedar tidak mampu menunaikannya akan mengakibatkan perbuatan berkenaan haram, kata Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, apa jua janji yang dijanjikan dalam manifesto parti politik perlu dan wajib dilaksanakan kerana jika gagal dalam menunaikannya disifatkan sebagai satu penipuan.

Kata Mufti Perlis itu, penipuan sering terjadi dalam musim pilihan raya, antaranya menunjukkan manifesto bohong yang pihak meletakkan itu sendiri pun sedar dan tahu bahawa mereka tidak mampu menunaikannya.

“Demikian memberikan maklumat palsu mengenai calon yang disokong ataupun yang ditentang.

“Dengan maklumat yang palsu itu maka pengundi akan tertipu dan membuat keputusan yang salah,” ujar  Mohd. Asri dalam satu kenyataan.

Mufti Perlis itu juga turut menguatkan kenyataan berkenaan dengan dua hadis Nabi Muhammad.

“Sesiapa yang memperdaya kami (kaum Muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka.

“Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya,” kongsinya.

Hadis berkenaan dipetik daripada Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban serta Riwayat Abu Daud.

Baru-baru ini, kerajaan bahawa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan mengakui sukar melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Harapan yang menjadi manifesto pakatan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dengan alasan status kewangan negara sekarang berada dalam situasi buruk.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemenangan Pakatan Harapan membawa beban yang terlalu besar kerana membuat bermacam-macam janji kepada rakyat agar kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia berbanding sebelumnya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.