Jangan terpedaya dengan panggilan palsu dari SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati berhubung kes penipuan panggilan telefon yang mendakwa sebagai wakil daripada SPRM dan meminta beberapa maklumat peribadi termasuk butiran sulit.

Dalam kenyataan, SPRM berkata pihaknya khuatir panggilan itu antara sindiket penipuan palsu yang menelefon secara rambang orang awam serta mendakwa mereka sebagai wakil SPRM.

“Ini susulan banyak aduan diterima SPRM daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu berkenaan kebelakangan ini,” katanya.

Kenyataan itu turut meminta orang ramai supaya mengabaikan panggilan meragukan dan mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my serta tidak mendedahkan apa-apa maklumat peribadi kepada pemanggil.

Dalam pada itu, SPRM juga akan membuat laporan polis berhubung perkara terbabit dan berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat panggilan palsu berkenaan yang telah menjejaskan nama dan reputasi SPRM.

Terdahulu, terdapat banyak nama agensi kerajaan telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membuat panggilan palsu kepada orang awam untuk melakukan sindiket penipuan.

Antaranya berhubung kes penipuan panggilan telefon yang mendakwa sebagai wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Mangsa yang menerima panggilan palsu itu kemudiannya dimaklumkan  telah dikenakan sejumlah penalti oleh JKDM dan diberi amaran bahawa tindakan akan diambil sekiranya tidak menjelaskan bayaran penalti tersebut, mengakibatkan  mangsa  kerugian berjumlah ribuan ringgit kerana tertipu.- utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com