Peniaga tak mahu turunkan harga selepas sifar GST

Tanggal 1 Jun 2018 lalu, kerajaan Pakatan Harapan telah melaksanakan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sebelum ini pada kadar enam peratus kepada sifar peratus.

Perlaksanaan GST pada kadar sifar peratus telah membuatkan ramai orang awam yang berasa lega dan gembira serta mengharapkan harga barang dan makanan akan turun harga.

Sebaliknya, sehingga kini walaupun perlaksanaan GST pada kadar sifar, harga makanan menunjukkan tidak berlaku sebarang penurunan harga. Peniaga kedai makanan berkata tindakan itu dilakukan adalah munasabah kerana semasa perlaksanaan GST enam peratus mereka tidak menaikkan harga tetapi berjanji akan menambah kuantiti hidangan yang disediakan.

Peniaga Bacang Corner Foodzania, Nur Nadia Nordin, 36, berkata pihaknya tidak menurunkan harga makanan sebaliknya mengambil langkah untuk menambah kuantiti makanan yang dijual berbanding sebelum ini.

Jelasnya, kadar sifar GST memang menunjukkan penurunan kepada harga barangan runcit seperti bekas makanan, plastik dan kelengkapan lain. Namun, beliau tidak dapat menurunkan harga makanan yang dijual kerana harga yang dijual sebelum ini adalah tanpa GST.

“Sejak GST dikenakan, semua pihak termasuk peniaga kecil seperti kami yang terpaksa menyerap kenaikan harga barang, kamilah yang menanggung kenaikan kos disebabkan GST.

“Ini kerana, kita dikenakan GST apabila membeli pelbagai barangan tetapi tidak boleh mengenakan GST kepada pelanggan sebab kita tidak cukup syarat pendapatan untuk mendaftar.

“Jadi, untuk berkongsi rezeki, saya akan menambah kuantiti makanan pada kadar munasabah dengan harga jualan,” katanya.

Seorang lagi peniaga Pemilik Fork n Dagger, Suziemah Zainal Abidin, 29, berkata semasa perlaksanaan GST enam peratus harga makanan tidak pernah dinaikkan jadi walaupun GST berada pada kadar sifar harga makanan tetap dikekalkan.

“Harga tidak turun sebab sebelum ini apabila harga barang naik, ditambah dengan GST, kita memang tidak naikkan harga makanan. Jadi, harga sekarang akan kekal.

“Apabila harga barang naik campur GST, peniaga selalu telan kerugian. Apabila GST tidak ada, ini jadi satu rahmat bagi peniaga macam saya.

“Tetapi untuk peniaga besar yang caj GST kepada pelanggan mungkin mereka boleh pertimbang untuk turunkan harga sebab GST sudah tiada,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com