Sebarang usaha pembubaran JAKIM harus dibantah

Sebarang usaha atau tindakan yang dilakukan untuk membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya dibantah dan jabatan terbabit seharusnya terus diperkasakan kata Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid memaklumkan Jakim tidak seharusnya dibubarkan kerana institusi itu telah banyak membantu kerajaan untuk memajukan Islam di Malaysia selain menyelaraskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Jakim diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sangat diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab merancang, melaksanakan, menilai dan memajukan pembangunan agama Islam dalam negara.

“Jakim diperlukan demi mencapai keseragaman dalam pentadbiran perundangan Islam, sekali gus mengembangkan penerapan Islam dalam aspek pembangunan negara,” katanya.

Selain itu, katanya Jakim juga perlu mengemak beberapa fungsi dan prestasi bahagian-bahagiannya supaya tidak timbul sebarang pembaziran sumber, meningkatkan pengurusan dan penggunaan dana serta memastikan tiada ketirisan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dibincangkan semula dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan jabatan ini.

Katanya, langkah berkenaan diambil bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.

“Dan kita akan tentukan negara ini Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa,” jelasnya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com