Siapa sebenarnya yang manipulasi status hutang negara?

Hutang negara semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak pernah dimanipulasi, sebaliknya sentiasa dilaporkan mengikut piawaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu Standard Penyebaran Data Khas (SDDS).

SDDS merupakan panduan kepada negara ahli IMF dalam penyebaran statistik negara kepada umum.

Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, dengan piawaian pelaporan antarabangsa itu, hutang negara (yang terdiri daripada jaminan yang diterbitkan melalui bon kerajaan) dan hutang yang dijamin oleh kerajaan atau lebih dikenali sebagai liabiliti luar jangka secara berasingan.

Katanya, hutang kerajaan Malaysia pada 31 Disember 2017 sebanyak RM686.8 bilion dan liabiliti luar jangka ialah RM238 bilion.

“Tetapi, kerajaan baharu Pakatan Harapan menambah angka-angka baharu kepada jumlah tersebut, dengan memasukkan sekali komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka berjumlah RM201.4 bilion.

“Itu menjadikan hutang negara mencecah paras RM1 trilion,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Unit Komunikasi Strategik UMNO, sekiranya diteliti secara terperinci, kerajaan Pakatan Harapan kini tidak lagi menggunakan hutang RM1 trilion, tetapi hutang dan liabiliti RM1 trilion.

“Ini adalah betul dari segi teknikal. Kerajaan Malaysia mempunyai liabiliti lebih daripada RM1 trilion iaitu RM686.8 bilion adalah dalam bentuk sekuriti hutang,” katanya.

Tambahnya, negara-negara lain di dunia juga menggunakan SDDS dan melaporkan hutang sekuriti tertunggak mereka sebagai hutang negara, yang tidak termasuk tanggungan luar jangka.

Kata Unit Komunikasi Strategik UMNO, tidak ada kerajaan negara-negara lain di dunia memasukkan komitmen pajakan dalam laporan hutang negara mereka.

“Bayaran sewa adalah perbelanjaan barangan, bukan barang hutang. Jika dimasukkannya, maka harus memasukkan semua perbelanjaan kerajaan seperti gaji pegawai kerajaan, pencen, subsidi dalam angka hutang negara,” jelasnya.

Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, kerajaan BN tidak pernah menyembunyikan perkara itu kerana angka tersebut sedia maklum oleh agensi penarafan, komuniti pelaburan dan institusi kewangan.

“Agensi penarafan sentiasa mengadakan mesyuarat dengan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan. Angka ini juga dikemas kini secara kerap.

“Semasa zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu, angka liabiliti sentiasa meningkat dan sewaktu beliau meninggalkan jawatannya, angka tersebut adalah RM52.7 bilion dan tidak pernah dimasukkan dalam angka hutang negara.

“Apabila ekonomi Malaysia berkembang, kerajaan tingkatkan pendapatan dan menjadi lebih berupaya untuk mengambil banyak hutang.

“Kami tidak memungkiri mana-mana kewajipan membayar hutang. Ia bukan mengenai jumlah hutang tetapi ia lebih kepada apa yang dilakukan dengan hutang dan keupayaan untuk membayar hutang,” katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com