UMNO perlu ubah mentaliti untuk kembali berkuasa

UMNO perlu mengubah mentaliti, sikap dan berdaya tahan untuk menghadapi apa jua cabaran akan datang memandangkan kedudukan parti berkenaan sekarang sebagai pembangkang, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata.

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika mengulas mengenai situasi semasa UMNO yang ketika ini dianggap berdepan cabaran agak besar kerana parti tersebut tidak pernah ada pengalaman sebagai pembangkang.

“DNA UMNO bukan DNA pembangkang. Itu susah sedikit.

“Bak kata orang sudah biasa jadi kucing parsi duduk dalam rumah dan makan bersuap, tetapi sekarang kena hendak jadi kucing jalanan yang perlu mencari makanan sendiri.

“Kita kena ubah sikap kerana kita bukan lagi kucing parsi tetapi kita sekarang adalah kucing jalanan. Jadi, daya tahan kena kuat.

“Orang caci, campak kita dengan air atau halau kita, itu satu perkara lumrah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, berkata kedudukan UMNO kini ini diharap akan menjadi iktibar.

Tambah beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, diharapkan juga agar ini akan menjadi pengajaran dan memperkasakan azab serta tekad parti itu supaya menyesali apa yang terjadi dan sedar apa sebabnya tewas.

“Kalau kita ada itu, kita akan ada keyakinan diri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau yakin dan percaya UMNO boleh bangkit semula.

“Kita macam lawan badminton, 14 kali berjumpa tetapi kita sudah menang 13 kali dan baru kalah sekali. Takkan kita hendak putus asa,” ujarnya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan dahulu pun tidak ada kuasa tetapi mereka boleh menang.

“Takkan UMNO bila sudah hilang kuasa, tidak boleh menang. Yang penting kita kena kerja dan yakinkan orang,” tegasnya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com