Anwar dedah ada ‘manusia perosak’ dalam PH

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak khabar angin PKR sedang berbincang dengan UMNO dan PAS untuk membentuk kerajaan Islam, dan menyifatkan dakwaan itu sebagai kerja gila.

Anwar berkata, beliau ada mendengar cerita yang disifatknya tidak masuk akal itu sedang disebar tetapi ini semua hanya kerja gila.

“Orang yang fikir idea ini adalah kerja gila dan memang mereka yang otak jahat saja yang boleh fikir macam ini.

“Kita bertungkus lumus, dipukul setengah mati, apa guna saya nak berpakat begitu rupa,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan.

Anwar memberi reaksi balas kepada desas-desus bahawa PKR dan 49 Ahli Parlimennya sedang berusaha untuk membentuk satu perikatan dengan 79 ahli Parlimen Barisan Nasional dan 18 Ahli Parlimen PAS untuk membentuk sebuah negara Islam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak kisah jika berita tersebut disebarkan oleh UMNO, namun idea berkenaan turut disebarkan oleh sesetengah pendukung Pakatan Harapan sendiri.

“Ada yang dakwa saya jumpa Raja-raja untuk membuat rancangan ini.

“Kalau saya nak buat pelan ini, saya jumpa ahli-ahli Parlimen bukan Raja-raja. Saya tidak perlu campur tangan Raja-raja,” kata Ketua Umum PKR itu.

Tambah beliau, pihak yang menyebarkan cerita sedemikian disifatkan sebagai perosak Pakatan Harapan.

“Saya menolak tuduhan ini dengan keras dan saya mengingatkan puak-puak ini, kita akan berdepan dengan mereka kerana mereka perosak Pakatan Harapan.

“Kalau ada elemen dalaman yang terlibat, orang ini mesti didedahkan,” ujarnya lagi. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com