Hormat dan jangan pertikai keputusan YDP Agong dalam isu Peguam Negara

Sebagai rakyat, kita perlu akur dan menghormati keputusan yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berhubung isu pelantikan peguam negara, kata Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Farid Hussin.

Ketua Pemuda Isma itu berkata, beliau mengharapkan agar semua pihak jangan mempertikai kuasa raja yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Farid berkata, Pemuda Isma menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang memperkenan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu.

Pada pagi Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farid berkata, beliau bimbang dengan budaya yang terjadi dalam politik tanah air khususnya setelah pilihan raya umum 9 Mei lalu, yang mana ada sesetengah pihak yang berani menghina institusi raja.

Beliau berkata, malah individu tidak bertanggungjawab ini tanpa segan silu mempertikaikan keputusan yang diambil sekiranya bertentang dengan apa yang mereka inginkan.

Tambahnya, ini juga termasuk pihak-pihak yang sengaja memberikan tafsiran yang mengelirukan tentang kuasa raja dalam Perlembagaan seperti kenyataan Majlis Peguam yang kononnya raja perlu tunduk dan patuh kepada kepada nasihat Perdana Menteri.

“Sedangkan hakikatnya jelas peranan Perdana Menteri hanya terhad kepada nasihat dan bukan memberi arahan, dan Agong berhak untuk menolak cadangan dan meminta Perdana Menteri mengemukakan calon yang lain,” ujar beliau. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.