Kerajaan PH digesa jangan jadikan Penjawat Awam mangsa politik

Kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan digesa tidak menjadikan penjawat awam sebagai mangsa politik dan perlu hentikan amalan politik balas dendam.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, pihaknya mengambil serius berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mempertikai kesetiaan anggota perkhidmatan awam kerana berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, ini disusuli kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses mengesan dan mengenal pasti penjawat awam tersebut sebagai persediaan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami bimbang bahawa ini boleh dianggap sebagai ancaman dan penindasan terhadap perkhidmatan awam dalam cubaan untuk melucutkan hak-hak Perlembagaan dan demokratik penjawat awam untuk kebebasan berpihak dan kebebasan siapa yang mereka mahu sokong,” ujarnya.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, kerajaan perlu menghormati hak-hak dan melayani perkhidmatan awam secara adil bagi memastikan negara ini kekal bersatu, terus maju dan demokratik, maka amalan politik balas dendam perlu dihentikan.

Tambahnya, ketika pemerintahan BN, ramai penjawat awam menjadi penyokong pembangkang dan mereka ini termasuklah warga angkatan tentera.

“Bagaimanapun, BN tidak memaksa mereka untuk menyokong parti pemerintah atau tidak menjadikan mereka mangsa kerana pendirian politik mereka.

“Ini kerana perlembagaan BN membolehkan rakyat – sama ada dalam perkhidmatan awam atau tidak – mempunyai kebebasan bersekutu dan hak mereka untuk menyokong siapa yang mereka mahukan,” katanya.

Baru-baru ini, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan sangsi dengan kesetiaan penjawat awam kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana ada di kalangan mereka yang berkempen untuk BN pada PRU lalu dan menganggap ia mengganggu pentadbiran kerajaan baharu. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com