Mas kahwin boleh hutang dengan keizinan isteri – Mufti Wilayah

Mahar atau selalu disebut sebagai mas kahwin merupakan pemberian oleh seorang lelaki kepada seorang wanita atas sebab berlakunya akad nikah. Tetapi, isu berkaitan mahar ini sering mendapat perhatian orang ramai.

Antaranya adalah kerana terdapat mahar yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan golongan lelaki tidak mampu untuk menyediakan mahar kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

Bagaimanapun, mahar boleh diserahkan secara hutang kepada isteri tetapi ia perlu mengikut persetujuan dari isteri kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Muftinya, Datuk Dr Zulkifli Mohmad Al-Bakri menjelaskan mahar adalah pemberian wajib kepada isteri apabila akad nikah sudah termeterai.

“Hukum mahar atau dipanggil al-Saddaq adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut.

“Akad nikah yang tidak dinyatakan mahar adalah sah, dan mahar tetap wajib diserahkan kemudiannya. Mahar boleh diberikan secara tunai ataupun berbentuk hutang,” katanya.

Jelasnya, merujuk kepada al-Fiqh al-Manhaji mas kahwin tidak mempunyai kadar yang tetap dan setiap sesuatu dinamakan harta atau boleh ditukar dengan harta, boleh dijadikan ia dalam kadar sedikit atau banyak, tunai atau hutang, atau sesuatu yang bermanfaat seperti kain sejadah, wang, tempat kediaman atau mengajar sesuatu kemahiran.

Zulkufli berkata mahar boleh diserahkan secara hutang tapi atas persetujuan isteri kerana ia adalah hak isteri dan merujuk al-Fiqh al-Manhaji pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera, malah boleh disegerakan atau ditangguhkan sebelum persetubuhan.

“Isteri ada hak untuk menghalang diri daripada disetubuhi oleh suaminya sehinggalah mas kahwin diterimanya. Namun penangguhan itu perlu ditetapkan masanya,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com