MOF perlu beri kenyataan berfakta, bukannya auta

Sebagai Menteri Kewangan, sudah tentu Lim Guan Eng ada akses kepada semua data terkini, maka beliau sepatutnya memberi kenyataan dalam bentuk fakta dan bukannya auta, kata Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim.

Beliau berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak sepatutnya tergesa-gesa dalam membuat sebarang kesimpulan kerana rakyat negara ini sekarang ramai yang berpendidikan.

Kata Azrinizam, Guan Eng perlu berhenti memberi kenyataan yang jelas memalukan diri beliau sendiri.

“Dalam satu temubual dengan RTM pada 3 Jun lalu, Guan Eng menyatakan ‘semasa kempen, pihak lawan (Barisan Nasional) menyatakan negara ini akan bankrup tanpa GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan). Kita telah buktikan mereka salah. Pada 1 Jun tiada lagi GST dan kita tidak bankrup’.

“Ulasan Menteri Kewangan ini dibuat hanya dua hari selepas GST disifarkan menjadi 0 peratus.

“Takkanlah dalam masa dua hari sahaja impak GST yang 0 peratus itu sudah boleh diukur? Tentunya tidak tepat sama sekali,” kata beliau.

Presiden ABATA itu berkata, Setiausaha Agung DAP itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Ini kerana, kata beliau, Bank Dunia, IMF dan badan penarafan antarabangsa lain, mengiktiraf status kewangan Malaysia pada tahun lalu dan menaikkan unjuran KDNK Malaysia sebanyak tiga kali menilai kedudukan kewangan negara berdasarkan suku tahun bukan dalam tempoh dua hari sahaja.

Dalam pada itu, Azrinizam berkata kesan GST yang disifarkan menjadi 0 peratus mungkin dapat dinilai ketika pembentangan Bajet 2019 nanti.

Pada masa itu, kata beliau, rakyat pastinya ingin melihat apakah sumber hasil yang berjaya dijana oleh kerajaan Pakatan Harapan selain GST.

“Rakyat Malaysia baru-baru ini turut dikelirukan oleh data hutang negara yang jumlahnya dikira tidak mengikut piawaian antarabangsa.

“Kali ini rakyat Malaysia terkejut lagi dengan cara pengiraan kesan GST 0 peratus oleh Menteri Kewangan,” ujar beliau.

Tambahnya, bukan hanya rakyat tetapi pelabur, institusi kewangan antarabangsa juga akan memerhatikan dengan dekat cara Menteri Kewangan mentadbir negara ini.

“Maka lebih baik Guan Eng berhati-hati dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” kata beliau. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com