Pakar politik ramal UMNO dan PAS akan bergabung lawan PH

Pakar politik meramalkan kemungkinan parti UMNO dan parti PAS akan bergabung, serta parti Barisan Nasional (BN) atau bekas anggota komponennya di Malaysia Timur menubuhkan satu blok sendiri untuk melawan Pakatan Harapan.

Wong Chin Huat berkata, sekiranya ini terjadi, isu-isu yang dijangka akan dibangkitkan adalah hak Melayu dan Islamisasi di Malaysia Barat, dan autonomi dan serta pentadbiran sendiri di Malaysia Timur.

Beliau berkata, ini akan membuat Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, PPBM dan PAN perlu melakukan sesuatu ketika itu jika gabungan berkenaan tidak mahu hilang populariti.

“Ini akan memaksa Pakatan Harapan bertindak balas sekiranya tidak ingin kehilangan populariti,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kata Chin Huat, sekiranya UMNO dengan parti Islam itu bergabung, ia bukan pertama kali kedua parti berkenaan bergabung.

Sebaliknya, pakar politik itu berkata, keadaan ini pernah terjadi sebelum ini, ketika Parti Perikatan -jenama awal BN- di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman hampir tewas pada tahun 1969 – tahun berkenaan pembangkang berjaya membuat kejutan besar dalam pilihan raya umum.

Rusuhan kaum pasca pilihan raya pada tahun 1969 membawa PAS dan UMNO bersama pada tahun 1972 untuk mengukuhkan perpaduan Melayu.

Dalam Pilihan Raya Umum 1974, PAS mendapat sebanyak 14 kerusi parlimen semasa bertanding di bawah bendera BN.

Namun penglibatan PAS dalam BN berakhir dengan krisis darurat di Kelantan menyebabkan akhirnya parti Islam itu mengambil keputusan untuk keluar dari BN pada Disember 1977.

Para penyokong PAS mengganggap bahawa UMNO telah mengkhianati mereka, sementara penyokong UMNO pula berpendapat PAS telah tidak patuh pada ketetapan BN.

Dalam pada itu, Chin Huat berkata, ketika BN sedang berusaha berpadu untuk menjadi pembangkang buat pertama kali, ia boleh kekal menjadi pembangkang yang moderat. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com