Syed saddiq anggap calon Ketua Pemuda UMNO memalukan Malaysia

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memperlekeh hasrat Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mahu bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Katanya yang juga Anggota Parlimen Muar, ia adalah sesuatu yang memalukan apabila Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang sudah berumur 48 tahun ingin bertanding untuk merebut jawatan berkenaan.

Beliau berkata, sewajarnya pemimpin muda perlu berumur 35 tahun ke bawah mengikut Dasar Belia Malaysia yang dirangka bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Parti-parti politik lain kalau boleh pemimpin mudanya biarlah bawah 35 tahun. Tetapi kalau UMNO susah sangat, sekurang-kurangnya bawah 40 tahun.

“Kalau sampai Jamal Yunos umur 48 tahun pun nak bertanding Ketua Pemuda UMNO, saya tak tahulah dunia mana yang kira 48 tahun ini anak muda? Memalukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Jamal dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Selain jawatan peringkat sayap itu, Jamal turut menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk merebut jawatan tersebut.

Jamal berkata, keputusan itu dibuat setelah menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, bekas calon Barisan Nasional Parlimen Kuala Langat, Shahril Hamdan yang juga Exco Pemuda UMNO lebih layak menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO.

“Saya agak bias kepada Shahril kerana beliau merupakan rakan saya sebelum ini. Beliau juga pernah berdebat dan berdialog dengan saya.

“Saya rasa itu salah satu ciri kepimpinan yang ada pada beliau. Tetapi bukan niat saya untuk ‘endorse’ beliau berbanding calon lain,” katanya.

Selain Jamal, tiga calon lain ialah Khairul Azwan Harun, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Syed Rosli Jamalullail yang semuanya berumur lebih 40 tahun. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com