Tuduhan MOF terhadap Najib mungkin cetus kesan negatif

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kerajaan supaya bersikap lebih berhati-hati dalam membuat sebarang dakwaan bermotif politik.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata, langkah tersebut menjadi lebih perlu apabila tuduhan yang dilemparkan turut membabitkan syarikat milik negara asing.

Kata bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, tiada sikap berhati-hati kerajaan mungkin menimbulkan impak negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia.

Terdahulu, Najib tampil menjelaskan berhubung proses perundingan dan pelaksanaan dua projek saluran paip, Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bekas perdana menteri keenam itu berkata, beliau yakin semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuhi berkaitan rundingan dan perlaksanaan dua projek saluran paip berkenaan.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, beliau juga mendapati bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyebut bahawa kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) mengikut perjanjian, dan bukan kepada pihak-pihak lain.

“CPPB adalah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki Kerajaan China, China National Petroleum Corporation (CNPC).

“Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan memberi jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan (government to government) dengan kerajaan China,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Najib berkata, beliau dan Perdana Menteri China Li Keqiang telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi projek saluran gas itu bersama beberapa projek lain semasa membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei, tahun lalu.

Pada masa yang sama, beliau berkata, China juga komited untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang dari Malaysia, selain membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia.

Beliau berkata, China juga menawarkan 10,000 tempat untuk latihan serta pendidikan bagi rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

“Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita,” katanya.

Namun dengan isu yang dibangkitkan Guan Eng, Najib mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap dua projek berkenaan.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini.

“Namun kita perlu lebih berhati-hati membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” ujar beliau.

Semalam, Guan Eng dilaporkan meminta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, dan Najib untuk menjelaskan perjanjian yang dipertikaikan dan dipersoalkan bernilai RM9.4 bilion ditandatangani oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Kata Guan Eng, jumlah yang sudah dibayar oleh kerajaan pada ketika itu adalah sebanyak RM8.25 bilion iaitu 87.8 peratus daripada nilai keseluruhan projek berbanding purata kemajuan kerja sebanyak 13 peratus di mana projek tersebut perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun lagi.

SSER adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 19 Mei, 2016, dengan tujuan khusus untuk melaksanakan projek MPP dan TSGP. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com