UMNO perlu tingkatkan peranan media sosial untuk kukuhkan parti

Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata UMNO perlu meningkatkan peranan di media sosial kerana ia penting dalam usaha untuk menyebarkan maklumat yang benar.

Kata beliau yang Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, peranan media sosial perlu dipertingkatkan memandangkan keadaan parti keramat itu sekarang sebagai pembangkang.

“Hari ini kita tidak ada medium lain dan oleh itu peranan media sosial akan menjadi penting dan berlipat kali ganda dalam keadaan kita sebagai pembangkang.

“Harapan kita tegapkan semangat dan teruskan berjuang untuk kepentingan rakyat,” kata Ahli Parlimen Pontian itu dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, beliau percaya pemilihan UMNO kali ini pada 30 Jun nanti seperti pertandingan di dalam sebuah keluarga.

Beliau berkata, ia penting supaya saf perpaduan dan permuafakatan yang padu dapat ditingkatkan dan bukannya boleh menggugat perpaduan di dalam parti berkenaan agar parti bangun semula dalam waktu terdekat.

“Apabila berlaku pertandingan di peringkat cawangan dan sebagainya sehinggalah keperingkat atas, apa yang penting sebenarnya kita merapatkan kembali saf kita.

“Segala pertandingan disifatkan pertandingan dalam sebuah keluarga. Ini yang penting dan kita jangan bakar jambatan sehingga tidak bertegur sapa dan sebagainya. Ini bukan kaedah di dalam UMNO.

“Pemilihan di dalam UMNO adalah pemilihan di dalam keluarga dan selepas itu kita berbaik semula dan bertegur sapa dan sama-sama menggerakkan kembali UMNO ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, segala janji dan manifesto kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini akan terus diperhati bagi kepentingan bersama.

“Insya-Allah kita akan teliti segala janji dan manifesto mereka kepada rakyat,” kata Ahmad Maslan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.