Ahli MT UMNO perlu guna saluran sesuai untuk tegur pemimpin

Tidak ada halangan bagi anggota-anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menegur pemimpin atasan berkenaan isu-isu kontroversi yang menimpa sebelum ini, tetapi teguran yang dibuat perlulah dengan adab berorganisasi dan bukannya secara terbuka menerusi laman media sosial.

Ahli MT UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tak perlu menjadi populis, ‘menyalak’, menulis status-status dalam laman media sosial seperti Facebook, itu tidak beradab.

“Kita kena berlaku adil sebab kita berada dalam organisasi, kita ada disiplin parti. Jangan ingat kita tidak pernah menegur kepimpinan terdahulu cuma dalam menegur kepimpinan ada adab dan kaedah.

“Saya menjadi saksi kerana saya berada dalam MT UMNO. Kita tak perlu menjadi populis, ‘menyalak’, menulis status-status dalam Facebook bahawa kita menegur pimpinan. Itu tidak beradab,” kata beliau dalam satu kenyataan.

MT UMNO itu berkata, beliau sendiri pun pernah menyuarakan sesuatu teguran yang difikirkan perlu tanpa bimbangkan kedudukannya.

Menurut Asyraf Wajdi, dalam MT UMNO, ia terbuka untuk menegur dan menyuarakan pendirian, apa saja yang menjadi suara hati rakyat.

“Orang macam saya tidak ada kepentingan. Sepanjang saya menjadi timbalan menteri, saya tidak pernah terlibat dengan sebarang projek atau bisnes.

“Ini kerana saya berpegang kepada satu prinsip bahawa kita harus berlaku amanah dan jujur sebab itu saya boleh bercakap tanpa rasa takut tetapi kita ada salurannya,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa pimpinan UMNO menyatakan kekesalan kerana tidak menegur pimpinan atasan lebih awal berkenaan isu kontroversi termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin.

Mengulas lanjut, MT UMNO itu berkata, beliau berpegang kepada prinsip dalam Islam yang menyatakan seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan dan dijatuhkan hukum.

“Saya setuju dengan saranan (Ketua Umum Pakatan Harapan) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangan kita perlakukan Datuk Seri Najib (Tun Razak) seperti mana beliau dulu diperlakukan, dihukum sebelum mahkamah menghukum.

“Akhirnya prinsip seseorang itu tidak didapati bersalah sehinggalah dihukum bersalah akhirnya ditukar kepada seseorang itu dianggap bersalah sehinggalah dia disahkan tidak bersalah.

“Ini satu kecelaruan,” tambah beliau. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com