Ahli Parlimen BN harus belajar jadi pembangkang yang kuat

Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, berkata ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) harus belajar menjadi pembangkang yang kuat walaupun ia mungkin sedikit janggal pada permulaannya.

Kata beliau, tugas sebagai pembangkang mungkin tidak seberapa berat sebagai wakil pemerintah.

“Kepada rakan Ahli Parlimen BN, belajarlah menjadi suara pembangkang.

“Memang mulanya kekok sedikit sebagai tidak biasa jadi pembangkang, kata Bung Mokhtar menerusi laman media sosial Twitter milik beliau.

Beliau berkata, BN perlu belajar menjadi pembangkang untuk menyuarakan salah laku dan kepincangan yang terjadi dalam pemerintahan kerajaan baharu, Pakatan Harapan yang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerja selaku pembangkang tidaklah seberat dan tidak seteruk wakil pemerintah, tetapi banyak yang boleh kita utarakan nanti (pada sidang Dewan Rakyat),” ujar beliau.

Bung Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan melalui pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu. Beliau menang dengan 9,478 undi majoriti.

Beliau yang memperolehi sebanyak 14,465 undi menewaskan saingannya Ghazali Abdul Ghani dari Parti Warisan yang mendapat 4,987 undi dan Mustapa Datu Tambuyong dari Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang hanya memperoleh 2,066 undi.

PRU-14 lalu telah menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan yang berjaya merampas Kerajaan Persekutuan apabila mereka memenangi majoriti mudah dengan pakatan parti, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN). –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.