Bangsa melayu yakin dan percaya kebijaksanaan DYMM YDP Agong

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan (YDPA) Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu.

Mengulas perkara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terlantik juga Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, meskipun ia menimbulkan pelbagai kegusaran di kalangan rakyat berikutan pelbagai isu menyentuh reputasi dan kredibiliti serta pola pemikiran beliau yang difikirkan mengancam kedaulatan Islam di negara ini.

Apa pun, kata beliau, daripada nada perutusan perkenan Yang di-Pertuan Agong sudah cukup menggambarkan betapa beratnya baginda untuk membuat keputusan berkenaan.

“Sekali gus meletakkan baginda dalam dilema yang cukup besar di antara mempertahankan kedaulatan Islam yang merupakan tunjang kekuasaan Raja-Raja Melayu dengan keterpaksaan untuk akur pada keputusan majoriti rakyat yang telah memilih Kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

“Tuanku YDPA hakikatnya sudah melakukan yang terbaik untuk mencari jalan yang paling adil bagi mempertahankan kedaulatan Islam termasuk melibatkan semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dalam membincangkan isu pelantikan Peguam Negara.

“Namun akhirnya dalam Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Pilihan Raya, DYMM YDPA tiada pilihan lain kecuali akur dengan kehendak rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan Tommy Thomas agar tidak sesekali melangkaui segala garis panduan dan memperjudikan ketaatan kepada raja, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama negara, demi kestabilan dan kemakmuran berterusan.

“Pelantikan ini bermaksud Tuan (Tommy Thomas) wajib turut serta mempertahankan segala peruntukan Perlembagaan dan keistimewaan tersebut dengan tidak berbelah bahagi.

“Ketaatan kepada DYMM YDPA perlu diberi secara sepenuhnya tanpa ada keraguan. Pelantikan ini membuktikan keterbukaan Tuanku dalam pemerintahan baginda untuk memberi hak yang sama kepada semua rakyatnya,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, ia juga secara langsung menangkis segala tuduhan tidak berasas bahawa YPDA adalah hanya raja untuk bangsa Melayu dan beragama Islam semata-mata, sebaliknya baginda adalah raja untuk semua.

“Ketahuilah bahawa peluang yang diberikan DYMM YDPA adalah bukan dengan sia-sia.

“Sebaliknya ia adalah ujian dalam menguji ketaatan Tuan Peguam Negara khususnya dan Kerajaan Pakatan Harapan umumnya kepada sistem Raja Berperlembagaan,” ujar beliau.

Tambahnya, rakyat percaya tindakan dan keputusan YDPA dengan meletakkan syarat utama kepada Peguam Negara adalah merupakan keputusan bijaksana. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.