Isu Istana – Anwar bidas kenyataan “penyokong kuat Mahathir”

Meskipun hak bagi menyuarakan pandangan perlu dihormati, tetapi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A Kadir Jasin harus memperlihatkan penghormatan dan ketertiban, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai artikel A Kadir yang juga Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan menerusi catatan di blognya yang mendakwa kerajaan memperuntukkan kira-kira RM257 juta antara Januari hingga April tahun ini untuk Yang di-Pertuan Agong.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata, kenyataan berkenaan juga dibuat tanpa membuka peluang terhadap Institusi Raja-raja Melayu untuk memberi reaksi balas.

Kata beliau, jika membuat kritikan sedemikian tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk menjelaskan jawapan, ia tidak sihat khususnya menggunakan kedudukan yang ada.

“Saya juga lihat sejumlah penekanan, dan ada fakta (yang) dipertikai, saya rasa kita perlu lebih berwaspada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan terus mengadakan perjumpaan bersama Raja-raja Melayu untuk membuang persepsi Pakatan Harapan tidak mesra golongan berkenaan.

Ketua Umum PKR itu berkata, A Kadir juga perlu ingat bahawa Pakatan Harapan berusaha keras untuk mendapatkan sokongan raja-raja Melayu.

“Kami menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mendapatkan raja-raja Melayu untuk melindungi pentadbiran ini dan memastikan peralihan kuasa yang lancar,” tambah beliau.

Beliau berkata, memang sukar bagi meyakinkan Raja-raja Melayu terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, disebabkan itu semua pihak perlu lebih berwaspada dalam membuat sebarang kenyataan seumpama itu.

A Kadir dalam catatan blognya baru-baru ini mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa secara purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.

A Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas. – Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com