Mufti yakin JAKIM tak akan dibubarkan oleh kerajaan PH

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yakin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak akan dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mufti tersebut berkata, Mahathir hanya mahu melihat kembali peranan jabatan berkenaan, serta mengukuhkan fungsi sebenar institusi Islam dalam skop orang Islam di Malaysia.

“Dr. Mahathir tidak bercakap mengenai isu bubar, tetapi mahu melihat semula peranan JAKIM dan mekanisme yang digunakan termasuk tumpuan yang sepatutnya JAKIM terlibat dalam kalangan masyarakat.

“Jadi saya yakin JAKIM tidak akan dibubarkan tetapi mahu melihat aspek-aspek ini supaya pelaksanaan (jabatan ini) lebih komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Mahathir mengatakan jawatankuasa akan dibentuk untuk menilai semula peranan JAKIM.

Kata beliau, ilmuwan dan cendekiawan Islam akan dikumpul bagi membincangkan semula peranan dan masa depan JAKIM.

Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan diambil bagi melihat semula peranan badan berkenaan, sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu.

Beliau juga berkata, kerajaan mahu memastikan JAKIM tidak menggambarkan Islam sebagai agama yang kejam dan tidak bertimbang rasa.

Ekoran dari itu, pelbagai pihak tampil membantah supaya JAKIM tidak dimansuhkan dan harus dikekalkan. – Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com