Negara kerugian RM 5.6 billion selepas sebulan tukar kerajaan

Selepas menukar kerajaan baharu (Pakatan Harapan), pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, dana ekuiti terus menunjukkan penurunan ekoran penjualan besar-besaran oleh pelabur asing yang memasuki minggu ke lima berturut-turut iaitu tempoh jualan dana yang paling lama direkodkan setakat ini.

Mei 2018 menjadi bulan tertinggi mencatat aliran keluar iaitu, RM5.6 bilion dana ekuiti keluar dari Bursa Malaysia.

Ini turut menggambarkan ketidakyakinan ramai pelabur antarabangsa terhadap prospek kerajaan baharu yang dibentuk.

“Pada minggu lepas sahaja, penjualan ekuiti negara oleh pelabur asing di kaunter Bursa Malaysia berjumlah RM1.27 bilion berbanding rekod hanya sebanyak RM892.4 juta yang dilupuskan mereka pada minggu sebelumnya.

“Dengan jualan asing pada setiap hari dalam seminggu, jualan ekuiti kini sudah 19 hari berturut-turut. Tempoh paling lama adalah 21 hari iaitu pada Mei hingga Jun 2015,” kata badan penyelidikan ekonomi, MIDF Research.

MIDF Research berkata, jualan bersih ekuiti Malaysia pada Isnin berjumlah RM216.5 juta disifatkan masih normal, namun aliran keluar dana asing dari negara ini sebanyak RM609.2 juta pada Rabu lalu adalah yang tertinggi sejak 15 Mei berikutan pembatalan projek mega Transit Aliran Massa 3 (MRT3) Lembah Klang dan Tren Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

MIDF Research mengakui bahawa penjualan ekuiti berskala besar itu sebenarnya kebetulan seiring dengan trend di negara Asia lain seperti Korea Selatan, Filipina dan Taiwan berikutan pergolakan politik serius di Itali dan Sepanyol.

Rabu lalu, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 56.56 mata atau 3.18 peratus untuk ditutup kepada 1,719.28 mata – paras terburuk sejak 2008.

Kebanyakan penganalisis ekonomi menyifatkan keadaan kejatuhan itu pada dasarnya merupakan normal.

Menjelang September, mereka mengunjurkan akan ada lantunan semula secara beransur-ansur dalam pasaran, apabila keyakinan pelabur dijangka kembali semula ke negara ini sebaik sahaja Kabinet baharu Pakatan Harapan menggariskan dasar-dasarnya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com