Pasaran kereta terpakai terima kesan negatif selepas sifar GST

Penurunan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada sifar peratus telah memberi kesan kepada penurunan harga barang termasuklah penurunan harga kenderaan.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengeluarkan senarai harga baharu bagi semua model keretanya dan secara purata telah turun harga 5.6 peratus daripada harga sebelum ini.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan tidak tergesa-gesa membeli kereta baharu walaupun berlaku penurunan beberapa kenderaan di pasaran berbanding harga sebelum ini.

Menurut, Pengarang Urusan Drive Safe & Fast (DSF), Daniel Sherman Fernandez, jangan tergesa-gesa membeli kenderaan hanya kerana penurunan harga tetapi belilah kenderaan sekiranya benar-benar perlu atau sudah lama merancang untuk membelinya.

Beliau berkata, pembeli kenderaan harus memikirkan tentang ansuran kereta baharu iaituselama sembilan tahun dan walaupun harga kenderaan baharu turun harga sekaligus harga kereta lama yang ingin ditukar juga nilainya lebih rendah.

“Sebagai contoh, katakan anda memandu kereta BMW 320i ber­usia sembilan tahun yang pada bulan lalu nilainya adalah sekitar RM45,000 hingga RM48,000.

“Dengan penurunan kadar GST, anda teruja untuk membeli BMW 330e Sport kerana harganya telah turun daripada RM258,800 kepada RM244,192, dan ini adalah penjimatan sebanyak RM14,608.

“Bagaimanapun, nilai BMW 320i anda yang ingin ditukarkan itu juga akan menurun sekurang-kurangnya RM14,000 kepada hanya antara RM30,000 hingga RM35,000,” katanya.

Daniel berkata, individu yang betul-betul mendapat manfaat dari penurunan harga kenderaan kereta ini sebenarnya adalah pembeli kereta kali pertama.

“Jadi, adakah anda benar-benar menjimatkan wang? Jawapannya agak jelas bahawa ramai rakyat Malaysia tergesa-gesa tanpa melihat dengan teliti penjimatan sebenar di peringkat akhirnya,” katanya.

Pemansuhan GST memang memberi kesan penurunan harga tetapi memberi kesan negatif kepada pasaran kereta terpakai apabila para pengedar terpaksa menanggung rugi menjual kenderaan dengan harga yang lebih rendah dari stok sedia ada.- utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com