Pemerintahan Liberal mula dipraktik dan diguna pakai dalam kerajaan Malaysia

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Ab Rahman, berkata teras kepada pembentukan negara yang berasaskan Melayu dan Islam akan terhakis, apabila amalan liberal demokratik mula diamalkan dan diterima pakai dalam kerajaan Malaysia.

Malah, kata beliau, amalan liberal demokratik itu pun telah mula diterapkan menerusi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan hari ini, yang mungkin terpaksa dihadapi majoriti orang Melayu dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Beliau berkata, ia sudah menjadi realiti apabila posisi strategik sekarang dipegang oleh pemimpin yang berfahaman liberal dan sekular.

Abdullah Zaik berkata, teras kenegaraan akan terhakis dan akan membentuk ‘Malaysia Baru’- sebuah negara yang tidak lagi disebut berasaskan kepada Melayu dan Islam.

“Jadi apabila ini berlaku, ia akan meminggirkan kedudukan Islam, idealisme Islam, falsafah politik Islam, konsep pembinaan atau sistem hidup pemerintahan tamadun yang berasaskan Tauhid, wahyu dan agama.

“Itulah yang saya maksudkan sebagai malapetaka yang boleh terjadi, sekiranya tiada keinsafan rakyat terutama orang Melayu dan Islam. Maka perkara ini benar-benar berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah Zaik berkata, beliau menghormati keputusan rakyat dalam memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang baharu pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, tetapi beliau percaya kemenangan kerajaan baharu itu tidak bermakna rakyat menerima konsep liberal demokratik.

Tambahnya, rakyat dan juga pengundi sebenarnya tidak memahami ke arah mana mereka akan dibawa, termasuk makna jelas liberal demokratik itu sendiri.

Beliau berkata, apa yang berlaku sebenarnya, undi majoriti itu beralih daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan atas alasan sentimen benci dan marah kepada kerajaan yang ada.

“Oleh kerana mereka dilihat gagal untuk menangani krisis kepercayaan kepada kepimpinan mereka, lalu memberikan mereka hukuman.

“Itu sebenarnya yang berlaku,” ujar Abdullah Zaik. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.