PLUS jangka 2.2 juta kenderaan banjiri lebuhraya semasa Aidilfitri

Setiap kali menjelang Aidilfitri, ramai yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing. Yang berada di bandar-bandar besar akan pulang ke kampung untuk berhari raya dan bertemu keluarga. Kesesakan lalu lintas di kebanyakkan tempat di seluruh pelosok Malaysia pastinya satu pemandangan yang tidak asing lagi.

Terkini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jalan raya akan dibanjiri kenderaan menjelang dua hari pertama Aidilfitri apabila akan berlaku pertambahan antara 40 hingga 50 peratus kenderaan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menjelaskan perkara terbabit akan menyaksikan lebuh raya dibanjiri sehingga 2.2 juta kenderaan berbanding sebelum ini pada hari biasa hanya 1.5 juta.

Beliau berkata, pertambahan ketara ini berlaku juga berikutan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus yang telah diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Azman turut menasihati pengguna lebuh raya untuk mengatur jadual perjalanan ‘balik kampung’ dengan baik dan memastikan mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan sebarang perjalanan pulang ke kampung.

“Sehubungan itu, kita menggesa pengguna merancang jadual perjalanan masing-masing dan keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati diskaun 50 peratus harga tol sempena musim perayaan Aidilfitri.

“Tol diskaun 50 peratus akan diberikan bagi semua lebuh raya bagi tempoh dua hari sebelum hari raya,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com