Sindiket Macau Scam lumpuh hasil kerjasama Polis Malaysia – Thailand

Sindiket Macau Scam yang beroperasi dengan memperdaya mangsa menggunakan panggilan palsu telah mengakibatkan ramai rakyat Malaysia yang kerugian jutaan ringgit.

Namun, sindiket penipuan Macau Scam yang beroperasi di Pulau Pinang didalangi rakyat Taiwan telah diserbu polis Malaysia yang bekerjasama dengan Thailand dan turut menjumpai senarai nama pegawai berpangkat tinggi Thailand yang disyaki terlibat dengan sindiket terbabit.

Pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Malaysia dan Polis Pelancongan Thailand, telah memberkas dua rakyat Taiwan dan 10 rakyat Thailand, terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita di sebuah banglo di lereng bukit yang menjadi sarang sindiket terbabit.

“Serbuan itu juga menemukan senarai nama para pegawai berpangkat tinggi Thailand daripada Biro Pencegahan Narkotik (NSB), Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO) dan mahkamah,” kata Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand Mej Jen Surachet Hakpal.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas mendapat maklumat bahawa banglo itu telah dijadikan sebagai sarang sindiket penipuan antarabangsa terbabit.

Katanya, rakyat Thailand yang ditahan mendakwa mereka telah ditipu oleh sindiket terbabit supaya bekerja dengan pihaknya.

Surachet berkata, serbuan terbabit adalah yang ketiga dilakukan kerjasama antara polis Malaysia dan Thailand untuk membanteras kegiatan sindiket Macau Scam melalui panggilan telefon yang melibatkan rakyat Thailand dan rakyat Malaysia.

“Mereka (polis Malaysia) bukan sahaja membantu kami menjejaki dan mengesan sindiket terbabit, tetapi juga membenarkan Polis Pelancong Thailand menyertai operasi bersama bagi menangkap suspek,” kata beliau.

Serbuan itu telah berjaya merampas peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer dan buku akaun bank. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com