Kekalahan mengajar ahli-ahli UMNO tentang kesetiaan

Ini adalah waktu terbaik bagi menilai siapa sebenarnya orang UMNO yang betul-betul akan bersama dalam apa jua situasi, bukannya hanya pelengkap menjadi anggota UMNO sahaja, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang menjalankan peranan Timbalan Presiden UMNO, berkata ini adalah penting kerana untuk membina semula UMNO setelah kalah pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Kata beliau, ia adalah sangat penting bagi parti menilai kesetiaan anggota untuk bersama dalam ketika sukar dan senang.

“Sebenarnya saya berasa bangga dan ingin mengucapkan tahniah kepada ahli UMNO kerana dalam keadaan masih bersedih dan kecewa, mereka masih setia kepada parti.

“Bahkan, mereka masih bersama kita mengadakan mesyuarat cawangan dengan baik.

“Bagi saya, mereka ini adalah orang-orang UMNO kalau nak dibandingkan dengan ahli UMNO.

“Di sinilah kita dapat menilai siapa sebenarnya orang UMNO yang akan bersama bukan hanya di waktu senang,” ujar Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai pemilihan parti yang akan berlangsung pada 30 Jun, Hishammuddin berkata, perkembangan yang menunjukkan ramai menawarkan diri untuk bertanding adalah sesuatu yang baik.

Tetapi, kata beliau, jangan sampai kebaikan itu menjadi sebaliknya sehingga melemahkan lagi parti berkenaan.

“Jangan kita gunakan platform pemilihan parti ini sesebagai satu wadah untuk tuding jari sesama kita, jangan kita menyerang dan menyentuh perkara yang tidak sihat.

“Nak bertanding, bertanding secara sihat, itu proses demokrasi dalam parti kita,” katanya.

Tambah beliau, orang yang menawarkan diri untuk bertanding ini mesti pastikan betul-betul tawarkan diri untuk buat kerja.

“Dalam keadaan sekarang ini saya tengok tidak ada apa yang dikejarkan sangat. Banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Kalau rakyat mahu muka-muka baru, biarlah muka-muka baru ini betul-betul boleh bawa amanah dan saya harap ahli di bawah memahami perkara ini,” ujar beliau lagi. – UN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com