Sila buat laporan kepada KPDNKK jika peniaga tak patuh 0% GST

Penetapan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) standard enam peratus kepada kadar sifar mulai 1 Jun lalu pastinya memberi kesan kepada perununan harga barangan yang lebih rendah kepada pengguna.

Bagaimanapun, seorang pengguna kecewa apabila sebuah butik tudung jenama terkemuka di Seremban masih mengekalkan harga tudung sama walaupun selepas penetapan sifar peratus GST pada RM50 sepatutnya turun pada RM47.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Zubir Hamsa berkata pihaknya menerima aduan dari pengguna terbabit dan telah membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, setelah membuat pemeriksaan semua harga jenis tudung telah diperbetulkan semula dan pemilik butik mendakwa masalah harga yang berlaku sebelum ini kerana sistem pembayaran menghadapi gangguan.

“Mereka mendakwa masalah itu timbul berpunca daripada sistem pembayaran premis berkenaan yang menghadapi gangguan sebelum pulih semalam (kelmarin),” katanya.

Zubir turut memberi amaran kepada pemilik premis dan akan menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan peniaga tersebut mengikut undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan.

“Jika terdapat kes berulang, notis akan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna untuk membuat laporan sekiranya mendapat ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang penetapan GST pada kadar sifar terbabit melalui talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) 03-8000 8000.

Saluran melalui talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800 atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip KPDNKK ADUAN. – UN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com