UMNO perlu pembaharuan menyeluruh untuk dapatkan kembali kepercayaan rakyat

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, ia telah membuka lembaran baru kepada semua anggota UMNO untuk membuat penilaian terha­dap diri sendiri, selain mengkaji kembali kaedah perjuangan yang telah dibawa sepanjang ini, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.

Bekas calon Barisan Nasional Parlimen Kuala Langat itu berkata, untuk bangun kembali dari kekalahan dan krisis ini, parti berkenaan memerlukan proses pembaharuan menyeluruh.

Kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia itu, pembaharuan itu dari segi struktur, idea, gaya penampilan dan mesej supaya mampu mendapat kembali sokongan rakyat kepada parti ini pada pilihan raya umum seterusnya.

“Selain proses pembaharuan dalaman, pendekatan dan strategi politik.

“UMNO juga perlu lebih relevan dengan keperluan semasa yang membabitkan kesediaan menjadi pesaing berkualiti kepada Kerajaan Pakatan Harapan.

“Berdepan dengan pemimpin dan personaliti parti lawan berlandaskan kredibiliti hujah dan komunikasi berfakta sekaligus memulakan proses meyakinkan rakyat Malaysia bahawa UMNO adalah pembangkang yang efektif seterusnya pilihan kerajaan alternatif pada masa akan datang,” ujar beliau.

Tambah beliau, atas semangat perjuangan berlandaskan kejujuran, keikhlasan dan keinginan menyumbang kepada proses pembaharuan berkenaan, beliau merendah diri menawarkan khidmat sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan parti nanti.

“Saya memohon dan memayu kepercayaan dan sokongan sahabat-sahabat seperjuangan untuk sama-sama kita menjayakan proses pemulihan dan pembaharuan keramat parti ini demi agama, bangsa dan negara.

“Bersama, kita bina masa depan yang lebih cerah,” ujar beliau lagi. -UN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com