859 Ketua Kampung di Perak akan diberhentikan selepas Aidilfitri

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Asmuni Awi berkata kira-kira 859 ketua kampung di Perak akan diberhentikan perkhidmatan mereka pada 30 Jun ini.

Beliau berkata, kekosongan itu akan diisi oleh ketua kampung baharu bermula 1 Julai untuk memastikan urusan pentadbiran berjalan dengan lancar.

Katanya, sama ada ketua kampung sebelum ini akan dipilih semula atau tidak bergantung kepada pilihan melalui peringkat kawasan.

“Proses (pelantikan) itu sedang berjalan, kami akan isi kekosongan mengikut tahap penyelesaiannya, yang sudah selesai boleh terus isi yang belum kami akan selesaikan dalam masa terdekat.

“Sama ada mereka akan dipilih semula atau tidak itu bergantung kepada cadangan daripada peringkat kawasan melalui penghulu dan pejabat daerah serta peringkat parti, mungkin ada yang kekal sekiranya mereka boleh bekerjasama dengan kerajaan baharu,” katanya.

Asmuni berkata, terdapat juga antara ketua kampung itu sendiri yang mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana tidak mampu untuk menjalankan tugas dibawah pemerintahan kerajaan negeri yang baharu.

“Mereka memberikan alasan dipilih oleh kerajaan lama dan kerana mendukung prinsip parti yang melantik, mereka merasakan tidak mampu untuk jalankan tugas di bawah kerajaan baharu.

“Saya hormati keputusan berkenaan walaupun sedikit sebanyak ia mengganggu proses tugas ketua kampung di peringkat bawah,” katanya.

Dalam pada itu, Asmuni turut menjelaskan pengisian ketua kampung baharu akan dilakukan melalui pelantikan berbanding pemilihan.

“Walaupun satu daripada manifesto Pakatan Harapan adalah pendemokrasian tetapi ia memerlukan proses untuk membolehkannya berjalan lancar dan berkesan.

“Untuk itu kami memutuskan pemilihan ketua kampung ini akan dilakukan mungkin tahun kedua atau ketiga,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com