Benarkah orang Malaysia langsung tak ada rasa malu?

Masyarakat Jepun cukup terkenal dengan budaya positif yang sering diamalkan sekaligus menjadikan Jepun sebuah negara maju. Antaranya adalah budaya malu oleh orang Jepun menyebabkan mereka akan sentiasa memastikan setiap produk atau perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata budaya malu ini tidak diamalkan oleh rakyat Malaysia disebabkan itu tidak kisah menghasilkan produk atau memberikan perkhidmatan tidak berkualiti.

“Orang Jepun memiliki rasa malu yang kuat. Dahulu, jika mereka rasa malu dengan apa yang dibuat, mereka akan melakukan hara-kiri (bunuh diri).

“Perasaan untuk tidak mahu menanggung malu atas apa yang kita lakukan adalah satu kekuatan untuk kita berusaha melakukan yang terbaik.

“Di Malaysia, kita tidak ada nilai ini. Kita tidak rasa malu jika menghasilkan produk yang tidak berkualiti. Kita perlu ada rasa malu seperti ini di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, memperkenalkan dasar pandang ke timur bukan sahaja untuk pelaburan dan pemindahan teknologi sebaliknya untuk menerapkan budaya masyarakat Jepun yang positif.

“Ketika kali pertama saya melawat Jepun pada 1961, negara ini merupakan sebuah negara yang musnah akibat perang.

“Tetapi orang Jepun bekerja keras untuk bangunkan negara mereka selepas perang sehingga jadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia.

“Sebab Jepun berjaya bina semula negara terletak pada etika kerja. Kalau tidak ada etika kerja, malas dan tidak ada rasa malu mungkin mereka tidak akan berjaya,” katanya.

Dr. Mahathir berkata penting mempunyai sikap malu sekaligus akan membuatkan seseorang itu malu untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang tidak berkualiti. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com