Hak melayu akan dikecilkan jika UITM dan FELDA tergadai

UMNO gusar dengan tuntutan pihak tertentu yang cuba menyentuh hak orang Melayu, terutamanya melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan FELDA yang bakal mengecilkan hak orang Melayu di tanah air sendiri.

Unit Komunikasi Strategik UMNO, berkata sebenarnya bangsa Melayu telah banyak berkorban terhadap hak mereka sebelum ini, termasuk memperuntukkan 10 peratus tempat bagi pelajar bukan Melayu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Di samping tidak ada desakan supaya kampung baru dan institusi pengajian Cina dan India ‘diMelayukan’, maka hak mereka (orang Melayu) terhadap FELDA tidak wajar dipertikaikan.

“Perlu diingat bahawa syarat wajib untuk menjadi peneroka ialah miskin dan tidak memiliki walaupun sejengkal tanah di kampung asal mereka dan tanah Felda adalah satu-satu tanah yang mereka ada.

“Biarlah Felda dijadikan hak Melayu, seperti wujudnya kampung baru untuk bangsa Cina dahulu,” katanya.

Tambahnya, perlu diingat, dalam pada kerajaan Pakatan Harapan mewujudkan ‘Malaysian Malaysia’, hak sesuatu kaum di negara majmuk ini perlu dihormati.

Kata Unit Komunikasi Strategik UMNO, peneroka FELDA mempunyai sumbangan yang besar kepada ekonomi negara dan tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak pun, terutamanya Pakatan Harapan.

Sementara itu, UMNO menyatakan penghargaan kepada kerajaan yang memutuskan untuk memberi bonus hari raya Aidilfitri kepada semua peneroka FELDA dan FELCRA.

Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, agihan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi peneroka FELDA itu merupakan kesinambungan ihsan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sementara insentif raya kepada peneroka FELCRA bernilai RM44 juta pula merupakan hasil keuntungan perniagaan agensi terbabit.

“Semua ini hasil desakan UMNO baru-baru ini agar peneroka dipertimbangkan duit raya mereka, ternyata desakan UMNO itu menerima keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sememangnya pemberian bonus dan duit raya kepada peneroka sudah menjadi ‘tradisi’ kerajaan semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri sejak April 2009,” ujarnya. – Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com