Mahathir dibidas kerana terlampau utamakan dendam politik

Sudah sebulan Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara tetapi sehingga hari ini dilihat masih belum menamakan sesiapa yang layak untuk dilantik menjadi Menteri Luar, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri Kerja Raya dan Menteri Belia dan Sukan.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, berkata ini sangat menghairankan kerana kerajaan Pakatan Harapan mengambil masa yang terlalu lama seolah-olah terjadi krisis pemilihan calon di antara parti-parti komponen dalam pakatan itu.

Katanya, rakyat juga masih tidak jelas tentang dasar luar negara, apatah lagi ia sepatutnya antara perkara paling awal perlu diumumkan oleh mana-mana kerajaan di dunia apabila membentuk sesebuah Kabinet.

“Kini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun ke Jepun tanpa ada kelibat Menteri Luar,” katanya dalam satu kenyataan.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, dasar luar sangat penting untuk negara seperti Malaysia kerana keanggotaannya dalam banyak kesatuan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), ASEAN, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksort Petroleum (OPEC) dan sebagainya.

“Menapa Pakatan Harapan dilihat agak liat untuk berbuat demikian? Apakah wujud pergelutan kuasa dalam kalangan komponennya atau tidak ada calon layak dan berpengalaman untuk menerajui kementerian terbabit?

“Sejak memerintah, kerajaan Dr. Mahathir bagaikan terlalu asyik dengan ‘dendam politiknya’ terhadap Datuk Seri Najib Razak,

“1Malaysia Development Berhad (1MDB), hutang luar yang diputarbelitkan serta janji manifesto yang terpaksa dipinggirkan kerana seolah-olah keadaan tidak mengizinkan.

“Isu perlantikan Peguam Negara juga berkecamuk walaupun Perdana Menteri sudah membuat keputusan tidak populis dengan menamakan Tommy Thomas bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali,” katanya.

Tambahnya, ada juga cubaan ahli pentadbiran Pakatan Harapan seperti memperlekehkan Perlembagaan negara serta Majlis Raja-Raja Melayu yang ada hak di dalam perkara berkenaan.

“Pakatan Harapan sudah mula terjebak dengan perangkapnya sendiri. Kerajaan baharu dilihat dianggotai ahli hipokrit dan pemutar belit fakta yang ada ‘rating agency’ sendiri dan bersikap ‘bodoh sombong’ dengan keengganan mengiktiraf angka rasmi yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan sebagainya.

“Semalam, Dr. Mahathir ke Jepun untuk menghadiri Persidangan Nikkei ke-24, di samping memikul tugasnya sebagai ‘salesman’ demi menarik lebih ramai pelabur Jepun ke Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, sudah ada cakap-cakap tentang ‘Malaysia dijual kepada Jepun’ kerana banyaknya projek mega yang melibatkan firma dan dana negara tersebut.

“Bezanya, luahan sebegitu tidak dapat dirasai kerana tidak wujudnya Internet dan kekangan ISA yang digunakan sehalus mungkin terhadap para pengkritiknya.

“Jika beliau pernah menuduh Kerajaan Barisan Nasional menjual negara kepada China, apa bezanya dengan usaha beliau untik menarik pelaburan Jepun?

“Dalam sejarah, pernahkah China menakluk Tanah Melayu?” katanya. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com