Majlis Penasihat Presiden penting untuk kesinambungan UMNO

Dengan adanyanya Majlis Penasihat Presiden UMNO, parti orang Melayu terbesar itu diyakini akan kekal kukuh, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Beliau berkata, parti berkenaan patut menubuhkan Majlis Penasihat Presiden UMNO dianggotai pemimpin veteran parti termasuk Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali Ku Li.

Katanya, majlis berkenaan berperanan memberi pendapat dan nasihat kepada pemimpin utama menentukan hala tuju parti tersebut.

“Pada hemat saya, lebih baik ada satu pelan cadangan untuk wujudkan Majlis Penasihat Presiden UMNO dimana Ku Li, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dan beberapa senior UMNO duduk sebagai Penasihat Presiden.

“Pada pandangan saya buat masa ini kita berikan sokongan pada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO untuk adakan rundingan dan untuk memastikan UMNO tidak terus retak dan berpecah,” katanya.

Armand Azha berkata, rakyat juga akan lihat parti boleh bersatu setelah kekalahan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Rakyat akan lihat UMNO boleh bersatu dalam masa parti kita yang telah kalah pada PRU-14 dengan suatu semangat dan iltizam baru untuk perkukuhkan parti UMNO.

“Ini merupakan pandangan peribadi saya demi kepentingan UMNO agar kita terus bergerak sebagai satu keluarga besar UMNO,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Armand Azha turut mengulas tentang kesediaan Tengku Razaleigh mempertimbangkan permintaan akar umbi agar beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO.

Beliau berkata, Ahmad Zahid dan Tengku Razaleigh mendapat sokongan peringkat akar umbi untuk mengisi kerusi Presiden UMNO.

“Pada pendapat peribadi saya dalam isu Presiden UMNO, kedua-dua mereka amat penting dalam UMNO bagi proses pengukuhan UMNO kerana Datuk Seri Zahid Hamidi mempunyai kekuatan akar umbi UMNO, manakala Ku Li mempunyai kekuatan daripada segi pengalaman dlm UMNO.

“Ini dua perkara yang amat penting bagi UMNO untuk bangkit daripada PRU-14,” katanya.

Tambahnya, UMNO tidak boleh kehilangan salah seorang daripada mereka demi memastikan kekuatan parti di semua peringkat dalam parti mahupun rakyat diluar.

“Pemilihan UMNO kali ini amat penting untuk memastikan jatuh bangunnya UMNO dengan semua pihak memainkan peranan dalam mendapatkan sokongan akar umbi,” katanya lagi. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com