Penyokong PH lebih mahu Mahathir jadi Perdana Menteri berbanding Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu telah berjanji akan melepaskan jawatan berkenaan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun.

Meskipun begitu, berdasarkan satu hasil kaji selidik yang dibuat The Malaysian Insight, rakyat dikatakan lebih mahukan Mahathir menjadi Perdana Menteri berbanding Anwar.

Mereka daripada hasil kaji berkenaan berkata, negara ini memerlukan pemimpin yang ada pengalaman seperti Mahathir dan berkaliber untuk membawa negara keluar daripada belenggu ekonomi.

Jojo Marzuki yang merupakan usahawan dari Kota Belud berkata, Mahathir lebih menyerlah berbanding Ketua Umum PKR itu, yang akan mengambil alih jawatan nombor satu negara itu.

“Saya rasa beliau (Mahathir) perlu kekal lebih lama kerana tiada siapa lagi yang berpengalaman seperti beliau dan boleh jalankan peranan sebagai perdana menteri.

“Yang paling dekat adalah Anwar tetapi masih belum sampai masanya,” ujarnya.

Sharifah Maruzani, 35 dari Kuala Lumpur pula berkata, beliau tidak kisah jika Mahathir kekal menyandang jawatan itu selama mana yang beliau perlu untuk menyelesaikan masalah negara.

“Kita masih perlukan beliau. Saya tidak kisah. Beliau boleh kekal selama yang diperlukan untuk membantu negara pulih,” katanya.

Malah, ada yang mahu Mahathir kekal menyandang jawatan itu sehingga pilihan raya umum seterusnya.

“Ya, sehingga pilihan raya umum seterusnya. Beliau perlu mengubah kerajaan, dan menetapkan tadbir urus yang lebih baik dalam negara.

“Dua tahun tidak cukup. Beliau perlu selesaikan masalah sebelum menyerahkan negara kepada pemimpin seterusnya,” kata Rommel Osmand dari Kota Kinabalu.

Sementara itu, ada juga yang berpendapat jika Pengerusi PPBM itu kekal berkuasa lebih daripada dua tahun, ia bercanggah dengan janjinya yang dibuat sebelum menyandang jawatan berkenaan.

“Beliau kata hanya akan jadi perdana menteri untuk dua tahun pertama Pakatan Harapan mentadbir negara, jadi saya tidak setuju jika beliau memegang jawatan lebih daripada tempoh itu,” kata Hamidah dari Shah Alam.

Selain itu, ada juga berpendapat bahawa Mahathir tidak boleh digantikan dengan Anwar, tetapi dengan calon yang lebih muda, untuk memastikan kesinambungan dalam politik.

“Beliau perlu menunaikan janjinya. Beliau perlu memberi laluan kepada orang yang lebih muda untuk menerajui negara.

“Kita tidak boleh bergantung hanya kepada seorang sahaja. Kami tidak fikir beliau akan bekerja hingga ke akhir hayatnya,” kata eksekutif pentadbiran yang hanya mahu dikenali sebagai Lee. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com