DS Najib yakin mahkamah akan buktikan dirinya tak bersalah

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin jika beliau didakwa berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas alasan politik, mahkamah akan membuktikan bahawa diri beliau tidak bersalah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun mengakui tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwa dirinya di mahkamah adalah bukan perkara mudah.

“Tun Mahathir kini berkata, tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwa saya di mahkamah adalah tidak mudah.

“Beliau turut berkata bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh Pakatan Harapan selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dengan berkata demikian, Tun Mahathir telah mengaku Pakatan Harapan membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh,” kata Najib dalam catatan di laman Facebooknya.

Bekas Presiden UMNO itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahathir pada Ahad malam bahawa tindakan kerajaan akan dipersoalkan sekiranya bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

Mahathir berkata, kerajaan perlu mendapatkan bukti yang kukuh sebelum mengambil tindakan.

Tambah Najib, kenyataan Perdana Menteri itu menunjukkan bahawa terdapat konspirasi untuk menggulingkannya dengan menggunakan individu tertentu dalam pentadbiran kerajaan.

“Ia juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar.

“Ia sebahagian dari konspirasi menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingkan saya.

“Pada ketika itu, kenyataan saya tidak pernah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), justeru bagaimana pula ada kertas pertuduhan?

“Hanya sekarang, mereka mahu melakukan justifikasi kepada tuduhan mereka dengan mencari ‘bukti’, sama ada ia benar, diimaginasikan atau direka,” katanya lagi. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.