Institusi Islam harus bebas dari campurtangan politik PH

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, institusi Islam harus bebas daripada campur tangan politik.

Kata beliau, kerajaan perlu memastikan institusi Islam dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan, termasuk menjaga kedaulatan institusi beraja dan kedudukan Islam sebagai agama negara.

Beliau berkata, semua institusi Islam bertanggungjawab secara langsung kepada institusi beraja.

Shamrahayu berkata, dalam realiti pelaksanaan fungsi dan kuasa institusi Islam pada peringkat negeri, ia perlu dilaksanakan dengan cekap dan berwibawa.

Kata beliau, ini bagi memastikan kuasa yang berada di bawah naungan Raja tidak diperlekeh dan menjadi bahan bualan negatif mana-mana pihak.

“Institusi Islam, termasuk institusi pentadbiran, perundangan dan pendidikan, seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah semestinya mempunyai peranan masing-masing untuk menunjukkan martabat sebenar agama Islam.

“Dalam masa sama, ia sekaligus mengangkat kemuliaan institusi beraja sebagai institusi yang menaungi agama Islam,” katanya yang juga pakar Perlembagaan.

Tambah beliau, undang-undang Islam dan fatwa di negeri perlu diberikan nafas baharu, ia termasuk proses penambahbaikan perundangan serta reformasi dalam proses penguatkuasaan undang-undang Islam.

Shamrahayu berkata, semua ini perlu diperkasakan di negeri bagi memastikan menggerak dan merealisasikan kedudukan Islam di negeri-negeri.

“Perkara serupa perlu berlaku dalam hal berkaitan pendidikan Islam.

“Semua ini perlu diperkasakan di negeri dan Raja perlulah memainkan peranan utama dalam menggerak dan merealisasikan kedudukan Islam di negeri-negeri,” ujarnya. – Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com