Jangan benarkan bukan Islam bahas undang-undang syariah

Orang bukan Islam tidak mempunyai hak untuk membahaskan hal-hal berkenaan undang-undang Syariah, tegas Exco Penerangan dan Kajian Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muslim Abdullah Zaik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan baru-baru ini yang menyatakan bahawa orang bukan Islam ada hak untuk membahaskan dan mempertimbangkan undang-undang yang dikenakan terhadap orang Islam, merujuk usul meminda bidang kuasa Mahkamah Syariah, RUU355.

Muslim berkata, kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya mengulangi tohmahan dan persepsi buruk terhadap keadilan syariat Islam.

Beliau berkata, sepatutnya Anwar lebih berwaspada ketika mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati orang Islam, demi menjaga dan mengambil hati golongan bukan Islam.

Pemuda Isma itu juga menegaskan hanya kalangan ulama serta pakar perundangan muslim sahaja yang layak membahaskan apa-apa akta dan rang undang-undang (RUU) berkenaan Syariah.

“Memandangkan Islam adalah Rahmat bagi sekalian alam, yang sepatutnya diyakini oleh Anwar Ibrahim juga, beliau sepatutnya menjadi antara pihak yang paling awal menyokong RUU ini bukan sahaja untuk orang Islam tetapi untuk dilaksanakan ke atas bukan Islam.

“Bagaimana beliau boleh berpendirian sedemikian sedangkan pindaan RUU ini belum diluluskan, apatah lagi dilaksanakan oleh negeri-negeri sekiranya mereka setuju untuk diterima pakai,” katanya.

Baru-baru ini, Anwar berkata meskipun sesuatu undang-undang dilihat hanya dikenakan ke atas orang Islam, orang bukan Muslim juga boleh terkesan.

“Sebarang perundangan, meskipun kelihatan hanya memberi kesan kepada orang Islam, tidak dapat tidak akan turut mempengaruhi orang bukan Islam, maka mereka ada hak untuk ikut serta,” katanya.

Kata Ketua Umum Pakatan Harapan, RUU355 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah hudud, tetapi beliau menyifatkan ia sebagai undang-undang terjemahan Ahli Parlimen Marang itu sendiri. – Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.