Jangan pakai tudung gambar “Dreamcatcher” untuk elak fitnah

‘Dreamcatcher’ iaitu simbol kepercayaan masyarakat Red Indian. Tetapi, corak dan simbol itu mula menjadi trend di kalangan wanita di negara ini. Malah, simbol ‘dreamcatcher’ turut dijadikan sebagai corak tudung untuk dipakai wanita Islam.

Namun, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam yang memakai atau menjual tudung corak ‘dreamcatcher’ supaya lebih berhati-hati untuk mengelakkan timbul fitnah ke atas mereka.

“Lebih baik memilih alternatif lain yang tidak mengandungi apa-apa kontroversi adalah lebih baik dan lebih selamat,”katanya.

Menurutnya, dalam Islam mempunyai larangan supaya tidak menyerupai pakaian orang kafir.

“Kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti agama mereka.

“Berdasarkan penelitian ulama, terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah, salah satu bentuk penyerupaan dengan orang kafir yang dilarang ke atas umat Islam adalah pada pakaian,” katanya.

Malah, pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan jumhur mazhab Syafie, menyerupai pakaian yang menjadi syiar orang kafir hukumnya kafir.

“Kerana itu, sesiapa yang memakai topi orang Yahudi dengan sengaja maka ia kufur kecuali jika dipaksa atau memakainya sekadar untuk berlindung daripada kepanasan.

“Begitu juga orang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, ia dihukumkan kafir kecuali jika memakainya sebagai helah dalam peperangan, maka ia tidak dihukumkan kafir,”katanya.

Tetapi, terdapat sesetengah ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie mengatakan, sesiapa mengenakan pakaian khas orang kafir, tidak jatuh kafir kecuali jika ia beriktikad dengan iktikad kufur tersebut.

Bagaimanapun, ada juga berpendapat bahawa memakai tudung corak ‘dreamcatcher’ tidaklah sehingga berada di tahap menyerupai agama lain kerana corak terbabit bukanlah merujuk keapda agama lain seperti salib. – utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.