Jemaah Haji tajaan Yayasan 1MDB tak perlu risau

Pembiayaan jemaah Haji oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bukan daripada sumber haram, demikian kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau memberi respon kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkata pada hari Ahad, bahawa kerajaan tidak lagi akan menghantar jemaah untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang yang dicuri, yang jelas merujuk kepada dana yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu risau kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka memenuhi Rukun Islam kelima itu datang dari sumber halal.

Kata bekas Pengerusi BN itu, sekiranya pembiayaan bagi kumpulan jemaah haji berkenaan menggunakan sumber kewangan yang haram, maka beliau akan menanggung dosa besar.

“Tun Mahathir adalah silap untuk mndakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil curi.

“Tun Mahathir kerap membuat dakwaan duit dicuri dari 1MDB. Bagaimana agaknya, 1MDB mencuri wang 1MDB sendiri untuk membolehkan syarikat ini membiayai jemaah haji?

“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam ke-5 ini adalah dari sumber halal.

“Saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya,” kata Najib dalam catatan Facebook rasmi beliau.

Tambahnya, beliau juga sedih kerana ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah tidak lagi menerima bantuan haji daripada kerajaan.

“Selain itu, saya juga sedih apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan Haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan,” ujarnya. –Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com