Jualan Harapan Rakyat – Kementerian Pertanian nafi salahguna logo parti

Turn off for: Malay
Penggunaan logo Kementerian tanpa kebenaran bukan hanya akan menimbulkan kekeliruan, malah ia akan memberi mesej yang tidak betul kepada rakyat, kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, pihaknya tidak terlibat dengan Program Jualan Harapan Rakyat yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang telah mencetuskan kekeliruan orang ramai tentang penggunaan logo MOA dan Pakatan Harapan.

Katanya, Program yang dianjurkan oleh dua buah NGO itu di kawasan Lembah Klang, Putrajaya, Kajang dan Sepang itu untuk membantu rakyat mendapatkan barangan basah yang segar dan murah.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengalu-alukan hasrat mana-mana pihak yang ingin mengadakan program sebegini.

“Tetapi, Kementerian ini berpandangan bahawa pihak penganjur kurang peka dengan sensitiviti tindakan mencampur aduk penggunaan logo rasmi Kementerian dalam mana-mana program anjuran persendirian.

“Adalah juga tidak menjadi amalan Kementerian ini untuk menggunakan logo mana-mana parti politik dalam program-program yang dianjurkan oleh Kementerian,” tegas kenyataan itu.

Kementerian itu turut meminta penganjur agar menurunkan bunting dan papan tanda yang terdapat logo Kementerian dan FAMA dengan secepat mungkin.

Katanya lagi, tindakan akan diambil jika perkara sedemikian berlaku lagi.

“Kementerian ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara sebegini berulang pada masa hadapan,” ujar kenyataan itu. -Utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com