MARA nafi hanya jaga anak-anak orang kaya

Sebelum ini, seorang netizen mempersoal tentang pelajar golongan kurang berkemampuan tidak mendapat kemudahan Mara sebaliknya banyak kemudahan Mara itu diberikan kepada pelajar dari golongan berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menegaskan dakwaan itu adalah tidak berasas dan agensi terbabit berpegang kepada dasar iaitu memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah.

Dasar agensi terbabit adalah memberi keutamaan dalam menerima apa jua kemudahan agensi terbabit kepada golongan B40 dan berpendapatan rendah.

“Program Penganjuran Pelajaran (BPP) Mara diwujudkan untuk memberi kemudahan pinjaman pelajaran kepada mereka yang layak di institusi pendidikan terpilih dalam dan luar negara.

“Mara juga memberi penekanan kepada kumpulan sasar berpendapatan rendah dengan meletakkan syarat status sosio ekonomi keluarga (SES) sebagai salah satu kriteria utama,” kata kenyataan terbabit.

Dalam pada itu, Mara turut berkata bantuan yang diberikan kepada pelajar dengan pendapatan ibu bapa kurang daripada RM8 ribu sebulan, golongan itu hanya akan diberikan pinjaman meliputi yuran dan elaun sara hidup.

Manakala bagi pelajar dengan pendapatan ibu bapa RM15 ribu ke bawah, golongan itu akan diberikan yuran atau elaun sara hidup sahaja.

“Walaupun begitu, bagi pelajar dengan ibu bapa dari kumpulan berpendapatan tinggi iaitu RM15 ribu ke atas, Mara menyediakan Skim Mara dengan kerjasama bank yang dikenali sebagai MARA-Bank Scheme,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut mengambil kira syarat utama lain seperti pencapaian akademik, bebas penyakit kronik atau berjangkit, tidak menerima bantuan atau tajaan kewangan dari mana-mana agensi serta pemohon mestilah warganegara dan Bumiputera.

“Bagi program Pembangunan Bakat Muda (YTP), terdapat syarat tambahan iaitu pelajar perlu lulus MARA Student Assessment Programme (MSAP),” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com