Pemilihan UMNO bukti parti tak ketandusan pemimpin muda

Proses pencalonan bagi pemilihan Umno sudah mula dibuka untuk semua jawatan bahagian, tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, dan peringkat Majlis Tertinggi parti termasuk presiden dan timbalan presiden.

Terdapat beberapa kalangan pemimpin muda antara turut menawarkan diri bagi pemilihan Umno untuk jawatan naib presiden dan Majlis Tertinggi (MT).

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara terbabit telah membuktikan parti Umno masih tidak ketandusan pemimpin muda.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang membuka pencalonan kepada semua ahli tetapi tidak menyangka ramai orang muda yang telah menawarkan diri.

“Pada mulanya, apabila kita bercadang untuk membuka pencalonan kepada semua ahli, kita risau tiada yang mahu menawarkan diri untuk bertanding tetapi sebaliknya yang terjadi.

“Ini jelas menunjukkan masih ramai orang muda yang menawarkan diri untuk memimpin dengan bertanding naib presiden dan Majlis Tertinggi.

“Maka saya yakin kekalahan UMNO dalam PRU14 ini jelas ada hikmahnya. UMNO tidak perlu lagi ada pemimpin yang bukan lagi aset bagi parti,” katanya.

Mohamad turut mencadangkan Umno supaya memperbanyakkan lagi calon yang berkaliber di peringkat bahagian Umno kerana parti terbabit bukan sahaja perlu kukuh di peringkat atas tetapi juga di peringkat bawah.

“Kalau bahagian bawah diurus dengan baik, kita tidak akan mempunyai masalah. Tetapi jika ada mana-mana UMNO bahagian yang tidak mantap, maka akan terjadi kecelaruan dan pastinya akan diterjemahkan di dalam pilihan raya.

“Dalam hal ini, ketua bahagian berperanan sebagai ‘field commander’ yang mana dia tahu keadaan sebenar di bawah dan mereka lebih tahu cara bagaimana untuk mengatasi isu dan masalah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya ahli Umno juga perlu bijak dalam membuat pemilihan calon yang terbaik yang berwibawa dan berintegriti.

“Memilih pemimpin, lihatlah juga latar belakangnya yang boleh membawa UMNO ke arah yang lebih baik. Pastikan pemimpin yang dipilih itu pemimpin yang berwibawa, berintegriti, berdaya saing dan merendah diri.

“Kita mesti berjuang dan mempertahankan isu-isu yang dekat dengan orang Melayu seperti isu Bahasa Melayu, Institusi Raja, agama Islam dan sebagainya. Masa depan UMNO terletak pada orang Melayu dan saya yakin orang Melayu tidak buang UMNO.

“Mereka tidak marahkan UMNO tetapi hanya kepada pemimpin UMNO sahaja. Kita kena hantar isyarat kepada orang Melayu bahawa parti ini sudah berubah dan akan terus memartabatkan asas perjuangannya,” katanya.- utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com